Persembahan Yang Memalukan Di Stamford Bridge
Chelsea tewas tiga dari lima perlawanan terakhir mereka sebelum ini dan hanya memenangi satu perlawanan serta mencatatkan satu keputusan seri.
Wajib baca pautan dibawah:
Ia merupakan rekod yang agak buruk untuk skuad kendalian Frank Lampard yang sudah berbelanja besar pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Chelsea bermula dengan agak garang dengan terus melancarkan serangan ke kubu Manchester City namun berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan the Citizens.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun Manchester City lebih banyak mencipta peluang berbahaya berbanding Chelsea.
Pada minit ke-18 permainan, Manchester City membuka tirai jaringan menerusi IIkay Gundogan yang menerima hantaran cantik dari Phil Foden.
Beliau berjaya melepaskan rembatan padu menewaskan Edouard Mendy untuk City mendahului perlawanan dengan keputusan 1-0.
Tiga minit kemudian, giliran Phil Foden pula mencatat nama sebagai penjaring dengan menjaringkan gol kedua untuk City mendahului Chelsea 2-0.
City memulakan build up dari bawah dan Kevin De Bruyne berjaya melorongkan bola dengan kemas dan cantik menemui Phil Foden yang hanya melakukan satu sentuhan mudah untuk menewaskan Mendy.
Pada minit ke-33, Raheem Sterling berpeluang untuk mencipta jaringan selepas beliau berjaya melarikan bola dari kawasan tengah padang menuju ke dalam kotak penalti Chelsea dengan hanya dikejar oleh Kante sahaja.
Namun, beliau gagal untuk melepaskan rembatan sebaliknya kelihatan tidak tentu arah di hadapan gol lalu melepaskan rembatan lambung yang sekadar singgah di tiang gol.
Bola tersebut kemudiannya terbias menemui Kevin De Bruyne yang sudah bersedia di hadapan gol Chelsea, dan pemain kebangsaan Belgium itu dengan mudah melepaskan rembatan leret untuk menjaringkan gol ketiga City.
Tamat separuh masa pertama, Manchester City mendahului Chelsea dengan keputusan 3-0 dan skuad kendalian Frank Lampard masuk ke bilik persalinan dengan penuh tertekan.
Masuk babak kedua permainan, kedua-dua pasukan dilihat lebih berhati-hati dengan Manchester City memperoleh banyak peluang yang gagal disudahi dengan jaringan.
Manchester City lebih dominan berbanding Chelsea dengan mereka mencipta lebih banyak peluang pada aksi babak kedua permainan ini.
Sehingga minit ke-90 permainan masih tiada tambahan jaringan yang berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan.
Ketika perlawanan masuk ke masa kecederaan, Chelsea berjaya memperoleh gol sagu hati hasil jaringan dari Callum Hudson-Odoi.
Pengadil membunyikan wisel penamat dan Manchester City berjaya membenam Chelsea dengan keputusan 3-1.
Skuad kendalian Pep Guardiola kini berada di kedudukan kelima dalam saingan liga dengan mengumpul 29 dari 15 perlawanan.
Mereka masih berpeluang untuk kembali menjadi pencabar kejuaraan liga musim ini kerana masih berbaki satu perlawanan yang belum dimainkan.
Kekalahan ini sedikit sebanyak memberi kesan buruk kepada Frank Lampard yang berkemungkinan akan dipecat oleh pengurusan kelab yang tidak berpuas hati dengan hasil yang beliau berikan.
Chelsea antara pasukan yang paling banyak melabur dana pada jendela perpindahan baru-baru ini, namun Frank Lampard gagal untuk menggunakan pemain yang beliau miliki dengan sebaik mungkin.
No comments:
Post a Comment