Pertahanan Borussia Dortmund, Mats Hummels percaya pemain remaja sensasi Youssoufa Moukoko akan menjadi pemain berkelas dunia satu hari nanti kerana mempunyai potensi seperti beberapa bekas rakan sepasukannya seperti Mario Gotze, Toni Kroos dan Christian Pulisic.
Memiliki ketinggian 1.79 meter, penyerang berusia 16 tahun itu telah mencipta sejarah pada November lalu untuk menjadi pemain paling muda membuat penampilan dalam saingan Bundesliga dan sebulan kemudian sekali lagi mencatat rekod sebagai penjaring gol termuda dalam liga utama Jerman.
Wajib tekan pautan dibawah:
Budak ajaib
Dilahirkan di Yaounde pada November 2004, Moukoko dibesarkan di ibu kota Cameroon itu bersama datuk dan neneknya sehingga berusia 10 tahun.
Beliau kemudian berhijrah ke Hamburg pada musim panas 2014 untuk tinggal bersama ayahnya yang sudah menjadi warganegara Jerman sejak tahun 90-an.
Tidak lama selepas itu, beliau menyertai akademi St Pauli yang terletak tidak jauh dari tempat tinggalnya dan di situlah permulaan perjalanan kariernya yang mengejutkan banyak pihak.
Dalam dua musim, Moukoko menjaringkan 23 gol hanya dalam 13 perlawanan bersama skuad bawah umur skuad die Kiezkicker itu dan ia telah menarik perhatian skuad pemantau bakat Borussia Dortmund.
Dengan mengikuti proses pembangunan bakat begitu yang sistematik di akademi BVB, beliau berkembang dengan begitu pesat dalam tempoh empat tahun.
Moukoko telah bermain untuk skuad bawah 17 tahun (B-17) pada usia 13 tahun, B-19 pada usia 14 tahun dan merekodkan sejumlah 127 gol 26 bantuan jaringan hanya dalam 84 penampilan dalam semua pertandingan buat di setiap peringkat umur.
Pemecah rekod
Naluri ‘pemusnah’ yang dimilikinya di hadapan gol itu membolehkan beliau diserap untuk menjalani latihan bersama skuad utama pada Januari 2020 ketika berusia 15 tahun di bawah kendalian Lucien Favre.
Dalam tempoh itu, beliau telah menjaringkan 13 gol gol lagi daripada empat perlawanan skuad B-19 sebelum dapat membuat penampilan pertama kerana perlu menunggu sehingga usianya mencecah 16 tahun seperti yang disyaratkan dalam peraturan liga.
Sehari selepas cukup umur, Moukoko tampil dalam aksi Bundesliga dengan menggantikan Erling Haaland pada minit ke-85 ketika perlawanan berdepan Hertha Berlin untuk memadamkan rekod yang dipegang oleh Nuri Sahin yang bermain pada usia 16 tahun 334 hari.
Beliau mencatat satu lagi sejarah untuk menjadi pemain termuda yang membuat penampilan dalam sejarah pertandingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) iaitu ketika berusia 16 tahun 19 hari ketika masuk sebagai pemain gantian ketika menentang kelab Rusia Zenit St. Petersburg.
Moukoko memilih untuk mewakili Jerman dan pernah beraksi bersama skuad B-16 di bawah bimbingan Michael Feichtenbeiner yang kini merupakan Pengarah Teknikal pasukan Selangor dan menjaringkan tiga gol dari empat penampilan.
Beliau juga boleh mewakili negara kelahirannya Cameroon di peringkat antarabangsa.
Penutup
Jika beliau dapat mengekalkan tahap permainannya sepanjang musim ini, tidak mustahil namanya akan disenaraikan oleh Joachim Low untuk menyertai skuad Jerman bagi menghadapi kejohanan EURO yang akan berlangsung pada pertahangan tahun ini.
Statistik jumlah gol dan bantuan jaringan yang dicatat olehnya di peringkat pasukan remaja telah jelas menunjukkan beliau bukanlah pemain biasa.
No comments:
Post a Comment