Ketika Real Madrid meraih kemenangan berharga 1-0 ke atas Real Valladolid tempoh hari, nama Hugo Duro secara tiba-tiba muncul apabila beliau masuk menggantikan Mariano Diaz pada babak kedua.
Meskipun penyerang berusia 21 tahun itu tidak menjaringkan gol untuk pasukannya, penampilan pertamanya bersama Los Blancos telah mencuri perhatian kerana kelibatnya tidak pernah kelihatan sebelum ini.
Wajib tekan pautan dibawah:
Casemiro muncul wira dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Municipal Jose Zorilla bagi memastikan Real Madrid membawa pulang tiga mata untuk mengecilkan jurang mata dengan pendahulu liga Atletico Madrid.
Siapa Hugo Duro?
Zinedine Zidane tidak dapat menurunkan Karim Benzema ekoran kecederaan yang dialami penyerang Perancis itu semasa sesi latihan dan memberi peluang kepada Diaz untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama.
Jurulatih berusia 48 tahun itu kemudian membuat tiga pertukaran serentak pada minit ke-66 untuk memberikan peluang kepada Hugo Duro membuat debutnya.
Pemain berkenaan bukanlah produk akademi Real Madrid, sebaliknya beliau dipinjamkan dari Getafe sejak awal musim ini. Beraksi untuk skuad simpanan, Real Madrid Castilla di Liga Segunda Divisyen B.
Dalam tempoh itu, pemain kelahiran Getafe ini telah mencetak 12 gol dan memberi keyakinan kepada Zidane untuk dipromosi ke skuad utama.
Dua tahun lalu beliau di antara pemain yang membantu Getafe meraih kelayakan ke Liga Europa dan mungkin tidak pernah menyangka beliau akhirnya berpeluang untuk tampil beraksi untuk salah satu pasukan terbaik di Eropah.
Kecederaan Benzema dan ketiadaan Luka Jovic yang dipinjamkan ke Eintracht Frankfurt menjadi peluang dan rahmat buat Hugo Duro untuk membuktikan keupayaan sebenarnya.
Aksi konsisten bersama Castilla sehingga dipanggil menyertai skuad kebangsaan Sepanyol bawah 21 tahun (B-21) tentunya menambah keyakinan pihak pengurusan kelab untuk mengaktifkan pilihan pembelian secara tetap yang terkandung dalam kontraknya.
Ia akan memberi pilihan kepada Zidane untuk mempunyai seorang lagi penyerang sokongan selain Mariano Diaz.
Bagaimanapun timbul persoalan adakah beliau berupaya untuk memecahkan dominasi Benzema yang masih mengekalkan statusnya selaku penyerang utama.
Nasib beberapa penyerang lain sebelum ini berakhir dengan kekecewaan seperti Jovic, Marcos Llorente, Borja Mayoral dan Alvaro Morata.
Menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) berdepan Atalanta beberapa hari lagi, Hugo Duro berpeluang untuk sekali lagi diturunkan bagi mengukuhkan kedudukannya di skuad utama.
No comments:
Post a Comment